Friday, September 19, 2008

Lanun Yang Menyusahkan


Seperti semua yang sedia maklum, lanun-lanun ganas di lautan Somalia telah menawan secara haram 2 kapal MISC. Bertalu-talu pertanyaan dari segenap lapisan masyarakat dari setiap penjuru telah diajukan dengan harapan ada maklumat terbaru atau lebih sensasi yang boleh diperolehi dari 'orang dalam'. Untuk makluman, apa saja yang tersiar di dada-dada koran (suratkhabar) adalah apa yang boleh dimaklumkan kepada anda semua. Bukannya tidak mahu membuka segala rahsia tapi hakikatnya memang itu sahaja lah yang ada dalam pengetahuan 'orang dalam' ini.*Sengih*


Apa yang hendak ditekankan di sini adalah, lanun-lanun ganas ini bukan sahaja menyusahkan kelasi-kelasi yang berkaliber dan gagah perkasa menongkah lautan yang tidak terjangka itu, bahkan kaum keluarga mereka juga. Tidak lupa juga pegawai-pegawai di bumi Malaysia yang bertungkus lumus merencana rancangan keluar (exit plan) terbaik tidak kira bersama matahari atau bertemankan bulan. Ucapan selamat maju jaya juga ditujukan kepada pahlawan negara yang tidak gentar mengangkat senjata (jika perlu) dan mengemudi bahtera untuk menentang musuh negara yang ganas ini.


Tetapi, apa yang paling menjengkelkan ialah para lanun-lanun (ke para-para lanun?) ini juga menyusahkan saya untuk menghantar barangan-barangan ke kapal-kapal yang kini berada dalam ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga saja. Nakhoda-nakhoda kapal tidak mampu untuk memberikan kepastian kemana arah tuju mereka setelah berlabuh di sesebuah pelabuhan. Lantas, mana mungkin saya dapat merencanakan pelan penghantaran buat kelasi-kelasi gagah di perairan nun jauh disana? Acapkali sudah terlalu lewat untuk menggesa penghantaran apabila makluman diterima. Lantas, semua jadi tidak keruan. Semuanya gara-gara lanun yang jahat!


Sabarlah abang abang kelasi sekalian..... moga-moga semuanya selamat.

.

No comments: